ANGGOTA bomba membuka kediaman mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membuka kediaman mangsa. FOTO ihsan bomba
Ahmad Ismail


Tangkak: Seorang pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Jalan Bayan, Kampung Kenangan Tun Syed Nasir, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.48 pagi dan seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kematian Zuraimi Abd Aziz, 51, disedari anak saudaranya apabila menemui mangsa tidak sedarkan diri ketika menghantar bekalan makanan.

"Anak saudara mangsa berasa curiga kerana bekalan makanan yang dihantar sebelum ini belum disentuh, dia menjenguk dari tingkap dan mendapati bapa saudaranya itu dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri atas sofa.

"Anak saudaranya kemudian menghubungi pihak berkuasa dan menyerahkan kunci kediaman kepada pihak bomba untuk melihat keadaan mangsa.

"Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:02 PM