ABANG Johari ketika mengadakan sidang selepas majlis pelancaran OUCCI hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi.
ABANG Johari ketika mengadakan sidang selepas majlis pelancaran OUCCI hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak meneliti tiga perkara utama bagi memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, jumlah kes positif Covid-19 perlu diteliti dan jika menunjukkan penurunan, ia akan memudahkan keputusan bagi mengadakan PRN-12 dibuat.

"Perkara kedua sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap.

"Ketiga pula kita perlu mengutamakan kesihatan rakyat. Kesihatan rakyat amat penting dan kita tidak mahu apa yang berlaku selepas pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu berulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) di sini, hari ini.

Terdahulu, Abang Johari ditanya sama ada Sarawak sudah memutuskan untuk mengadakan PRN-12 sebaik Proklamasi Darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari mengakui, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya memerlukan mandat untuk terus mentadbir negeri ini.

"Namun sekarang terpulang kepada agensi strategik terutamanya SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneliti perkara ini... keputusan kini di pihak terbabit.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam masa seminggu dua ini," katanya.

Menurutnya, jika tiada sebarang pengumuman dalam tempoh terdekat, Sarawak mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan PRN-12 selepas tarikh 1 Ogos nanti.

"Tetapi kita perlu memastikan situasi kondusif, dalam kata lain ada perkembangan baik dalam situasi Covid-19 di Sarawak.

"Rakyat pun takut nak turun mengundi jika situasi (Covid-19) masih membimbangkan," katanya.

Ditanya mengenai status Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang tamat tempohnya sejak 7 Jun lalu, Abang Johari berkata, ia akan kekal sehingga tamat darurat.

"Tetapi kita lihatlah apa yang berlaku mulai sekarang hingga 1 Ogos.

"Hari ini kita masih dalam darurat. Keputusan kini di tangan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), sama ada darurat dilanjutkan atau tidak selepas ini, kita sama-sama tunggu dan lihat," katanya.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:44 PM