JUMLAH katil ICU meningkat.
JUMLAH katil ICU meningkat.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jumlah katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) di 221 hospital di seluruh negara meningkat kepada 15,090 berbanding hanya 4,395 pada 30 Mac tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 373 peratus.

Manakala 1,533 katil di ICU iaitu 1,405 di hospital awam dan 128 di hospital swasta, meningkat 485 peratus berbanding 316 katil pada tempoh sama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi meningkatkan kapasiti katil merawat Covid-19 di hospital awam, pengubahsuaian ruangan tertentu di dalam dan di luar bangunan hospital untuk dijadikan wad dan ICU sementara sudah dilaksanakan termasuk pembinaan Hospital Medan, ICU Medan, ICU Modular dan penggunaan ICU di hospital swasta.

"Setakat ini, tiga ICU Modular disediakan dan beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kepala Batas dan Hospital Melaka.

"Bagi menampung peningkatan kes Covid-19 khususnya kategori empat dan lima, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah lima lagi ICU Modular di beberapa hospital yang mempunyai kes

yang tinggi iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Tambahan), Hospital Selayang, Hospital Tuanku Jaafar (Seremban), Hospital Tawau dan Hospital Sibu.

"Selain daripada penyediaan fasiliti, peralatan perubatan seperti katil pesakit, katil ICU, ventilator iaitu 2,468 unit ventilator dengan kadar penggunaan 60 peratus, monitor pesakit dan sebagainya turut dipertingkatkan bagi memperkukuhkan keupayaan dan sebagai kesiapsiagaan dalam menangani pandemik Covid-19," katanya dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 221 buah hospital di seluruh negara yang dikhususkan bagi rawatan pesakit Covid-19 iaitu 104 daripada KKM, enam hospital universiti, 112 hospital swasta dan sebuah hospital Angkatan Tentera. Katanya, sebanyak 11 hospital KKM adalah berstatus Covid-19 penuh, dan selebihnya berstatus hibrid yang turut merawat pesakit bukan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 1:52 PM