Kerajaan membenarkan sektor pemajuan perumahan beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa serta-merta.
Kerajaan membenarkan sektor pemajuan perumahan beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa serta-merta.
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan membenarkan sektor pemajuan perumahan beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.

Menurut KPKT kebenaran itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif serta sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118).

"Di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah.

"Aktiviti lain yang dibenarkan beroperasi adalah kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period); dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4," menurut kenyataan itu.

Di bawah Fasa 2 PPN pula, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, agen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah subsale.

Menurut KPKT kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini sektor tersebut yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT https://www.kpkt.gov.my.

Ini termasuk SOP lain seperti SOP pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya di www.cidb.gov.my dan SOP am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Maklumat lanjut, boleh hubungi Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4493/4494.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 1:44 PM