Hidup bersama Covid-19 sebagai endemik.
Hidup bersama Covid-19 sebagai endemik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bermula di Wuhan, China pada Disember 2019, jangkitan Covid-19 menular hampir ke semua negara termasuk Malaysia dan mendekati dua tahun, "serangan" virus itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dengan angka korban terkini melebihi empat juta orang di seluruh dunia.

Kemunculan varian baharu yang lebih agresif menyukarkan lagi usaha sistem kesihatan negara terjejas menangani pandemik itu, dan di sebalik penemuan vaksin, rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19, cuma tanpa simptom yang teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan dipersetujui majoriti pakar kesihatan, baru-baru ini menyatakan Covid-19 berkemungkinan besar menjadi endemik iaitu kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita seperti selesema. Persoalannya, bersediakah kita untuk "hidup" bersama virus yang setakat semalam telah meragut 8,201 nyawa di negara ini?

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, mahu tidak mahu perkara itu berkemungkinan besar menjadi hakikat yang perlu diterima rakyat negara ini.

"Kita dapati hanya beberapa negara sahaja yang merekodkan kes sifar dalam tempoh dua minggu berturut-turut mutakhir ini, sekali gus membuktikan negara-negara di seluruh dunia akan menerima Covid-19 sebagai sebahagian kehidupan, seperti influenza (H1N1) yang tercetus pada 2009 dan kemudian menjadi endemik," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila bertukar status kepada endemik, kes baharu tidak perlu lagi dimaklumkan kepada orang awam, namun rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga secara berterusan termasuk mematuhi tiga prosedur operasi standard (SOP), iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Paling utama, pastikan diri divaksinasi, katanya yang yakin vaksinasi dan pematuhan tiga SOP adalah kunci untuk membendung virus itu.

Katanya, selepas menjadi endemik, individu yang mempunyai simptom ringan seperti selesema akan dianggap sebagai selesema biasa dan tidak lagi dirujuk ke hospital melainkan pesakit menunjukkan gejala lebih berat seperti sukar bernafas.

Menurutnya pesakit juga tidak lagi akan diasingkan sebaliknya dirawat seperti jangkitan virus biasa.

Bagaimanapun katanya pengisytiharan Covid-19 sebagai endemik bergantung pada keputusan WHO yang akan membuat penelitian selepas suatu tempoh.

"Untuk mengisytiharkan Covid-19 ini sebagai endemik sebenarnya tidak bergantung pada kes kematian atau kes harian sesebuah negara selaina tidak ada faktor yang betul-betul spesifik untuk meletakkan ia sebagai endemik.

"Cuma, apa yang boleh kita harapkan sementara menunggu ia sebagai endemik, program vaksinasi terus berjalan sebab dengan kadar vaksinasi yang tinggi juga kita dapat menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa, selain berharap penemuan ubat antivirus sebagai alternatif rawatan sekiranya dijangkiti,'' katanya.

Terdahulu, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood menyarankan pihak berkuasa menjadikan suntikan vaksin Covid-19 sebagai vaksinasi tahunan seperti yang dilakukan di Eropah bagi mengekang flu atau selesema bermusim.

Pada masa ini, penularan Covid-19 masih berstatus pandemik yang diisytiharkan oleh WHO pada 11 Mac 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 12:25 PM