SIDANG Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama lima hari.
SIDANG Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama lima hari.
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sidang khas Parlimen yang bermula hari ini tidak memperuntukkan had khusus untuk wakil rakyat hadir ke Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 selepas ia ditangguhkan berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara sejak 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, berikutan kes jangkitan baharu masih tinggi di Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun meminta kerjasama semua ketua parti untuk melakukan penggiliran setiap ahli Parlimen di bawah parti masing-masing setiap sejam.

"Saya tidak meletakkan had tertentu (untuk berada dalam Dewan), cuma saya minta kerjasama ketua parti untuk melakukan penggiliran setiap ahli (Parlimen) mereka, setiap sejam jika boleh.

"Tidak timbul soal saya nak hadkan jumlah 80 orang wakil rakyat yang dibenarkan hadir, tidak pernah ada keputusan pun sebelum ini untuk hadkan jumlah 80 orang," katanya pada sesi sidang media secara maya bagi memperincikan persiapan Sidang Khas Parlimen.

Ditanya apakah tindakan akan dikenakan sekiranya ahli Parlimen enggan melakukan penggiliran, Azhar berkata, tiada tindakan akan diambil kerana beliau meminta kerjasama dan budi bicara setiap wakil rakyat.

"Duduklah nak buat macam mana, kalau kita berani nak ambil risiko itu saya tidak akan kata apa-apa.

"Saya rasa kita perlu bertanggungjawab kerana kalau kita kena (positif Covid-19), bukan saja kita kena, tambahan selepas vaksinasi memang tiada simptom pun.

"Kita balik dukung anak, cucu, jumpa orang kawasan kita. Kalau kita kena, bukan kita seorang saja, tetapi pemandu, bodyguard, pergi ke kawasan dan orang-orang kawasan lagi, kita kena fikirlah…saya harap perkara ini diberi pertimbangan," katanya.

Menurutnya, disebabkan itu beliau menawarkan kemudahan melakukan sesi Parlimen hibrid, bukan untuk kepentingan sendiri.

"Saya nak tawarkan kemudahan hibrid ini sebab itu saja (Covid-19), bukan saya ada niat untuk melewatkan persidangan.

"Perhatian saya mengenai kesihatan dan kesejahteraan kita semua," katanya.

Ditanya adakah sesi persidangan Parlimen hibrid akan dibincangkan dalam sidang khas berkenaan, beliau berkata, perkara itu tidak akan dibincangkan.

"Sebenarnya inisiatif melakukan Parlimen secara hibrid ini datang daripada saya dan Tan Sri (Dr) Rais Yatim (Yang Dipertua Dewan Negara) serta sekretariat.

"Kita bertungkus-lumus memperhalusi perkara ini dan kita sudah pun mendapat perolehan daripada MOF (Kementerian Kewangan), hasrat kita untuk menyediakan kemudahan ini untuk membolehkan sesiapa yang tak nak datang atau tidak boleh datang sebab takut Covid-19 untuk hadir secara maya, itu hasrat dan matlamat serta niat kita.

"Jadi kalau kita buat macam itu, akan lebih selamatlah saya rasa sebab dalam dewan pun jika kita hadkan 80 atau 90 orang ke, sebab varian Delta ini betul-betul bahaya.

"Tan Sri DG (Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) bagi penerangan kepada jawatankuasa dewan selalunya dulu dalam masa 15 minit kalau berhadapan seseorang itu baru berisiko dijangkiti, tetapi varian Delta ini 15 saat saja, sebab itu kita berfikiran kalau buat virtual ini akan jadi lebih selamat kepada semua orang," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun cadangan itu akan diperhalusi dengan lebih lanjut mengikut keperluan undang-undang.

Azhar juga menegaskan Dewan Rakyat sentiasa bebas daripada dikawal oleh kuasa eksekutif.

"Kami sentiasa bebas, kami selalu melakukan sesuatu mengikut rancangan.

"Malah, mengenai keputusan kami membenarkan semua ahli Parlimen hadir ke persidangan, kita tidak mengikut permintaan atau tekanan daripada kerajaan.

"Kami melakukan sesuatu mengikut undang-undang Perlembagaan," katanya.

Azhar juga berharap, sesi sidang khas itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli Parlimen untuk perkara berfaedah.

Berlangsung selama lima hari, semua ahli Parlimen dibenar hadir ke bangunan Parlimen bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan dalam menangani masalah pandemik Covid-19.

Berdasarkan aturan mesyuarat yang sudah diedarkan kepada semua ahli Parlimen, persidangan hari ini bermula jam 10 pagi, dimulai dengan sesi penerangan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin diikuti empat menteri yang terbabit dalam pengurusan Covid-19.

Lebih 95 peratus ahli Parlimen sudah divaksin

Lebih 95 peratus daripada 220 ahli Parlimen sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala 12 yang lain baru memperoleh suntikan pertama.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hanya tiga ahli Parlimen saja yang masih belum menerima sebarang vaksin Covid-19 atas sebab tertentu, bagaimanapun mereka tetap dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

"Semua ahli Parlimen tetap dibenarkan datang ke Dewan Rakyat walaupun ada yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin dua dos.

"Ahli Parlimen tidak divaksin masih dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat, kita akan nasihat mereka supaya berhati-hati kerana kita tidak boleh menahan mereka dari datang menunaikan tugas mereka sebagai wakil rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya pada sesi sidang media secara maya bagi memperincikan persiapan Sidang Khas Parlimen.

Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai hari ini manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Azhar berkata, sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersetuju supaya semua petugas Parlimen divaksinasi dan setakat ini 90 peratus petugas Parlimen sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.

Azhar berkata, selain itu pihak Parlimen menetapkan house rule antaranya memastikan setiap individu lain yang datang ke Parlimen termasuk pekerja kontraktor, kakitangan kementerian, pengawal peribadi dan pegawai pengiring menteri divaksin terlebih dahulu.

"Kami akan periksa di luar sebelum mereka dibenarkan masuk, kalau tidak divaksinasi, kami akan halang daripada memasuki Parlimen," katanya.

Sebagai langkah keselamatan juga, Azhar berkata, setiap individu seperti ahli Parlimen, pegawai bertugas, kakitangan Parlimen, petugas media, pekerja kontraktor, pemandu dan pengawal keselamatan peribadi perlu menjalani ujian saringan.

Seramai 1,008 orang menjalani ujian saringan pada Rabu lalu manakala semua ahli Parlimen disaring pada Jumaat lalu.

Menurut Azhar, Parlimen juga menetapkan menteri hanya boleh membawa tiga pegawai pengiring manakala bagi timbalan menteri pula dua orang dan ahli Parlimen hanya dibenarkan seorang pegawai pengiring.

"Saya juga menetapkan Ketua Pembangkang boleh membawa tiga pegawai pengiring manakala bagi pegawai kementerian yang perlu datang untuk membantu menteri untuk sesuatu isu dibenarkan tiga orang saja," katanya.

Selain itu, Parlimen turut menambah baik persidangan dengan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif eksklusif dengan ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

Azhar Azizan @ Harun atau Art Harun.
Azhar Azizan @ Harun atau Art Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:56 AM