Polis Klang Selatan menyerbu sebuah rumah di Kampung Delek dan merampas 101 bungkus air ketum yang siap di proses. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan
Polis Klang Selatan menyerbu sebuah rumah di Kampung Delek dan merampas 101 bungkus air ketum yang siap di proses. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan
Norzamira Che Noh


Klang: Jana pendapatan haram dengan menjual air rebusan ketum yang dimasak sendiri di dalam rumah.

Itu antara kegiatan dua lelaki yang diberkas polis selepas dikesan mendalangi kegiatan memproses dan menyimpan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek di sini.

Dalam serbuan sekitar jam 10 pagi semalam, polis merampas 101 bungkusan air ketum milik suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hasil aduan dan maklumat awam.

"Tangkapan pertama dilakukan terhadap suspek berusia 37 tahun di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang di sini. Turut dirampas satu bungkusan air ketum miliknya.

"Ia disusuli tangkapan suspek kedua berusia 42 tahun sebelum polis merampas 100 bungkusan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek. Keseluruhan air ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM1,010," katanya semalam.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai stor dan tempat memproses air ketum.

Katanya, suspek dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dan air ketum berkenaan akan diedarkan di sekitar Klang.

"Polis percaya daun ketum diperoleh suspek daripada seorang lelaki tempatan di Pulau Indah dan usaha memburunya giat dijalankan," katanya.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 8:51 PM