VAKSIN Comirnaty keluaran  Pfizer–BioNTech. FOTO Rohanis Shukri
VAKSIN Comirnaty keluaran Pfizer–BioNTech. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Roji Kawi


Kuching: Program imunisasi Covid-19 mula menunjukkan keberkesanannya apabila jumlah penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri ini, mula menurun sehingga bawah 15 peratus.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 juga dilaporkan menurun sejak program imunisasi dilaksanakan.

Beliau berkata, penurunan ketara dilihat bagi kes positif Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang menurun bawah lima peratus bagi setiap kategori.

Menurutnya, kategori tiga adalah jangkitan Covid-19 membabitkan masalah paru-paru, kategori empat pula pesakit memerlukan bantuan oksigen manakala kategori lima pula membabitkan pesakit kritikal akibat komplikasi beberapa organ.

"Penurunan ini diyakini adalah kesan vaksin apabila 79.2 peratus penduduk negeri ini sudah menerima dos pertama manakala 51.5 peratus menerima dos kedua sehingga 22 Julai.

"Penurunan itu juga dikaitkan dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di kawasan tertentu," katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun, Dr Sim yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, berlaku peningkatan bagi jangkitan Covid-19 gejala ringan atau kategori dua.

"Ketika ini berlaku peningkatan sebanyak 28 peratus bagi kes positif gejala ringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 1:02 PM