GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Menyeludup masuk ke negara ini menerusi pangkalan haram di Sungai Golok dengan alasan ingin berjumpa suami selain mahu berkahwin.

Itu alasan yang diberikan beberapa wanita antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Gual Ipoh, di sini, pada 5.45 petang, 11 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, tiga lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disyaki tekong darat turut ditahan dalam serbuan itu.

"Tangkapan berkenaan membabitkan 14 wanita warga Myanmar berusia 13 hingga 31 tahun serta tiga kanak-kanak berusia lima dan 10 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Hasil siasatan mendapati mereka menyeludup masuk melalui Sungai Golok di pangkalan haram dengan tujuan untuk berkahwin selain ada yang datang untuk bersama suami di sini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, hasil ujian saringan terhadap kesemua tangkapan mendapati tujuh wanita itu positif Covid-19, bagaimanapun ia tidak menjangkiti tahanan.

Menurutnya, pengasingan lokap dibuat dari awal dan jangkitan juga tidak berlaku kepada petugas lokap kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan.

"Semua 14 wanita itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Jeli secara maya, esok mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Manakala, tiga tekong darat berusia 32 hingga 42 tahun itu masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 26H Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 8:36 PM