Pasukan serbuan PPM menunjukkan rampasan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya, Klang pada Khamis lalu. Foto Ihsan PPM
Pasukan serbuan PPM menunjukkan rampasan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya, Klang pada Khamis lalu. Foto Ihsan PPM
Norzamira Che Noh

Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 263,900 karton rokok tanpa cukai serta 249,624 botol bedak menerusi satu serbuan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya dekat sini, pada Khamis lalu.

Komander PPM Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan yang dianggarkan bernilai RM9.03 juta itu dilakukan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) PPM Pelabuhan Klang.

Menurutnya, pasukan serbuan mengenal pasti sebuah gudang yang mencurigakan dan didapati pintu gudang bertutup tetapi tidak berkunci.

Katanya, pasukan serbuan kemudiannya memasuki gudang itu pada 10.45 pagi dan mendapati sebuah kontena ditemukan berisi 263,900 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM913,720 dengan nilai cukai berjumlah RM5.62 juta.

"Turut ditemui dalam gudang itu adalah sejumlah kotak berisi bedak yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang dianggarkan bernilai RM2.49 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap gudang itu turut menemui kesan umpil pada tingkap bilik air dipercayai digunakan oleh ahli sindiket itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya gudang berkenaan dijadikan transit sebelum rokok serta bedak itu diedarkan.

"Kita juga percaya sindiket menyewa gudang itu dalam jangka masa pendek untuk menjalankan aktiviti pemindahan rokok dari kontena ke lori," katanya.

Mohd Yusoff berkata, rokok dan kontena yang dirampas mengikut Akta Kastam 1967 itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), manakala bedak diserahkan kepada Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah treler dan kontena bernilai RM60,000 menjadikan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM9.09 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 8:28 PM