RUHANI Abdullah dari Kumpulan Litrak menyerahkan cenderahati kepada wakil Surau Al Mustaqim, Bukit Jalil ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Korban Kumpulan Litrak, baru-baru ini.
RUHANI Abdullah dari Kumpulan Litrak menyerahkan cenderahati kepada wakil Surau Al Mustaqim, Bukit Jalil ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Korban Kumpulan Litrak, baru-baru ini.
Suliati Asri


Petaling Jaya: Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Litrak dan Sprint bekerjasama menganjurkan program sumbangan ibadah korban membabitkan tiga surau terpilih di kawasan jajaran lebuh rayanya.

Program korban tahun ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Titipan Kasih Korban Harian Metro bersama EZ Qurban.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sazally Saidi berkata, surau yang menerima sumbangan ialah Surau At-Taqwa, Kepong; Surau Al-Mustaqim, Bukit Jalil dan Surau As-Sobirin Putra Perdana, Puchong.

Beliau berkata, sejak 2014, syarikat berkenaan sudah menganjurkan program korban itu membabitkan komuniti di kawasan sepanjang jajaran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint seperti di Puchong, Bukit Lanjan, Kg Kerinchi dan Bangsar.

Menurutnya, walaupun berdepan situasi pandemik ketika Covid-19, Litrak dan Sprint kekal komited berkongsi rezeki bersama keluarga yang memerlukan.

"Kerjasama strategik ini dilihat sebagai kaedah bertepatan memastikan urusan penganjuran majlis norma baharu, pematuhan SOP yang ketat selain beramal dan beribadah di bulan yang mulia, Zulhijjah.

"Kami menyedari akan keadaan semasa negara ketika ini yang sedang berjuang melawan Covid-19. Justeru, kami mengambil peluang ini berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat dan didoakan semua dapat kekal selamat dan kuat semangat menempuh waktu yang sukar ini," katanya.

Sejumlah RM 22,000 dibelanjakan untuk program berkenaan dan ia membabitkan sumbangan tiga ekor lembu dan lima ekor kambing untuk diagihkan kepada keluarga asnaf dan komuniti sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 8:00 PM