UNIT Pengurusan Jenazah VCEE19. FOTO Ihsan  Ahmad Nazarudin Mohamad Jawahir dan Wan Hilmi Wan Mohd Nor.
UNIT Pengurusan Jenazah VCEE19. FOTO Ihsan Ahmad Nazarudin Mohamad Jawahir dan Wan Hilmi Wan Mohd Nor.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Hampir pitam akibat lemas kerana kekurangan udara ketika turun ke liang lahad untuk menguruskan jenazah Covid-19.

Itu pengalaman Ketua Unit Pengurusan Jenazah Covid-19 Volunteer for Community Engagement and Empowerment for Covid19 (VCEE19), Ahmad Nazarudin Mohamad Jawahir, 40, ketika pertama kali menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

Katanya, situasi itu dihadapi kerana mereka terpaksa menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang proses pengebumian.

Katanya, pengurusan jenazah pesakit Covid-19 tidak sesukar yang difikirkan kerana banyak proses yang terpaksa di langkau.

"Proses biasanya mengambil masa kurang 20 minit sahaja, namun kesukaran yang dihadapi sepanjang bertugas sebagai sukarelawan ini adalah memakai PPE.

"Pertama kali menguruskan jenazah, saya akui hampir pitam kerana lemas kerana kekurangan udara apabila turun ke liang lahad," katanya yang mempunyai pengalaman hampir lima dalam pengurusan jenazah.

Sejak itu, katanya, dia sentiasa berhati-hati setiap kali menguruskan jenazah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Ahmad Nazarudin berkata, pengalaman menjadi sukarelawan memberi keinsafan kepada dirinya untuk sentiasa mengingati kematian.

Dia yang aktif berkhidmat sebagai sukarelawan pada hujung minggu berkata, ia juga adalah satu cara untuk berbakti kepada masyarakat dalam pengurusan jenazah.

"Saya amat menggalakkan kepada individu di luar sana untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat dan tidak perlu takut serta risau.

"Ketika menyertai aktiviti kemanusiaan ini, kita dapat satu kepuasan yang sangat berbeza daripada kerja bergaji," katanya.

Sementara itu, Ketua Sukarelawan VCEE19, Wan Hilmi Wan Mohd Nor, 45, berkata, walaupun sedia maklum dengan risiko yang bakal dihadapi, mereka sentiasa bersedia menyumbang bakti kepada masyarakat.

"Ada sesetengah pihak tidak menerima jenazah Covid-19 kerana bimbang dijangkiti wabak, dan atas dasar itu kami membantu menguruskan jenazah.

"Jika kita patuhi latihan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kita tidak perlu risau dijangkiti," katanya.

Wan Himi berkata, sepanjang Jun lalu, mereka menerima daripada 14 hingga 20 jenazah setiap hari dan jumlah berkenaan meningkat sehingga 30 sehari bagi satu daerah sahaja.

Katanya, mereka mengambil masa sepanjang hari bagi menguruskan jenazah Covid-19 berikutan jumlahnya yang banyak.

"Ketika menjalankan kewajipan sebagai orang Islam ini, tidak dapat dinafikan ada sukarelawan yang tersentuh dengan situasi sekarang.

"Namun, saya mengingatkan mereka supaya sedekahkan al-Fatihah dan laksanakan tanggungjawab dengan cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:11 PM