FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kangar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 16 dron berkuasa tinggi yang diluluskan oleh kerajaan pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, dron berkenaan akan dikawal oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan seluruh negara terutama di kawasan yang tidak berpagar.

"Sebanyak RM48 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan menerusi RMK-12 Rolling Plan Pertama (RP1) melalui proses tender oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perolehan dron ini.

"Kita harap dengan adanya dron ini boleh membantu meningkatkan operasi dan tahap keselamatan di kawasan sempadan terutama yang tidak berpagar, bagi mengekang aktiviti jenayah," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim pada sidang media selepas membuat tinjauan di sempadan Malaysia dari negeri Kedah hingga Perlis hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim pada sidang media selepas membuat tinjauan di sempadan Malaysia dari negeri Kedah hingga Perlis hari ini. FOTO BERNAMA

Turut hadir, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Menurutnya, kawasan sempadan tidak berpagar adalah sejauh 44.55 kilometer yang digunakan oleh penyeludup melalui lorong tikus sekali gus mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, dron yang bakal diperoleh mampu terbang di udara lebih daripada empat jam.

Selain itu, sebanyak 175 pacuan empat roda (4x4) akan diterima PDRM dalam masa terdekat sekali gus membantu meningkatkan tahap operasi pihaknya di seluruh negara.

Dalam pada itu, anggota risik yang bertugas di kawasan sempadan akan dilengkapi dengan 'inner bullet proof vest' sebanyak 1,000 set bagi memberikan perlindungan keselamatan kepada mereka.

Katanya, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi pakaian itu dan anggota risik diarah meningkatkan tahap operasi di kawasan sempadan bagi memperoleh maklumat penting.

"Kumpulan risik kena kuat, jadi kita nak kekang aktiviti jenayah di sempadan," katanya yang turut membuat tinjauan di sempadan Kedah dan Perlis, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:16 PM