Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Perintah sambung reman terhadap empat lelaki mabuk yang menendang dan menggigit polis sehingga cedera di Flat Sri Nilam, di sini, Rabu lalu, ditolak Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 26 tahun itu dibawa ke mahkamah, hari ini, bagi proses sambung reman.

"Bagaimanapun, permohonan sambung reman terhadap empat individu terbabit ditolak pihak mahkamah.

"Susulan itu, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kami akan melengkapkan kertas siasatan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu depan untuk tindakan lanjut dengan mencadangkan pendakwaan di mahkamah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima lelaki bertindak agresif apabila menyerang anggota polis yang membuat pemeriksaan di Flat Sri Nilam, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, dua anggota polis berkenaan cedera selepas ditumbuk di bahagian dada serta digigit pada lengan kiri dan leher.

Berita berkaitan

Dah la mabuk, serang polis pula

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:58 PM