Penduduk mengalami kerosakan harta benda susulan kejadian hujan lebat dan ribut berterusan di kawasan sekitar Tanjung Sedili, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Penduduk mengalami kerosakan harta benda susulan kejadian hujan lebat dan ribut berterusan di kawasan sekitar Tanjung Sedili, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: "Angin terlalu kuat diikuti hujan dan ribut sekali.

"Adik beradik lain terlalu takut sehingga berpelukan sesama sendiri," kata Shazrul Faiza Mat Noor, 33.

Shazrul Faiza antara penduduk Kampung Teluk Jeri Luar, di sini, yang terjejas susulan kejadian hujan lebat dan ribut berterusan lebih dua jam di kawasan sekitar Tanjung Sedili, di sini, petang semalam.

"Saya melihat keadaan luar dari rumah, kelihatan angin seperti puting beliung, secara tiba-tiba pokok di belakang rumah patah lalu menghempap kereta Perodua MyVi saya.

"Saya sempat azan kerana terlalu takut dan ini adalah kejadian kali kedua berlaku sejak 10 tahun lalu, tidak menyangka ia menyebabkan harta benda di rumah juga rosak.

"Apabila sudah reda kira-kira lewat petang, saya keluar rumah lalu melihat rumah jiran juga rosak teruk yang kemudiannya orang kampung mula bersama-sama bantu membersihkan kawasan di sekitar kampung," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mariam Ismail, 72, berkata, keadaan kediamannya rosak hampir 70 peratus termasuk keseluruhan bumbung rumah.

"Hanya ruangan depan rumah tidak teruk, lantai rumah masih bertakung dengan air hujan.

"Saya maklum mengenai pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, namun saya tidak pergi.

"Saya tidur di ruangan rumah yang tidak terjejas di bahagian hadapan, rasa lebih selamat apatah lagi ketika ini musim pandemik Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta hingga RM5 juta bagi membantu penduduk di kawasan Tanjung Sedili, susulan terjejas kejadian ribut.

Katanya, setiap keluarga akan menerima antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada kerosakan harta benda termasuk kediaman.

"Di peringkat awal, setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai RM1,000 dari kerajaan negeri, RM400 dari Majlis Agama Islam Negeri Johor dan bakul makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 3:26 PM