Rosman Shamsudin

Sungkai: Kerajaan negeri Perak mengalu-alukan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk membantu meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Program Trailer Mobile Outreach anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bersama kerajaan negeri antara kerjasama untuk mempercepatkan pemberian vaksinasi.

Katanya, program ini secara tidak langsung membantu merealisasikan usaha Perak untuk memasuki Fasa Tiga Program Vaksinasi dengan menepati salah satu nilai ambang iaitu mencapai 40 peratus vaksinasi.

"Jika program ini didapati banyak memberi manfaat dan impak positif maka kerajaan negeri bercadang memperluaskannya ke tempat lain pula.

"Justeru, kita mengalu-alukan sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk membantu meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

SAARANI (dua kiri) berbual dengan penerima vaksin sempena Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak atau dikenali Trailer Mobile Outreach di Dewan Semai Bakti FELDA Gunung Besout 1. FOTO Rosman Shamsudin
SAARANI (dua kiri) berbual dengan penerima vaksin sempena Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak atau dikenali Trailer Mobile Outreach di Dewan Semai Bakti FELDA Gunung Besout 1. FOTO Rosman Shamsudin

"Hasil dapatan bertemu orang ramai tadi mendapati ramai memuji usaha ini dan kolaborasi ini berjaya membantu kerajaan negeri. Insya-Allah jika ada vaksin mencukupi, program sama akan kita buat di kawasan Felda yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak atau Trailer Mobile Outreach Daerah Batang Padang di Dewan Semai Bakti Felda Gunung Besout 1, dekat sini, hari ini.

Program ini adalah kolaborasi antara Kelab Peminat Cub Prix Malaysia bersama Safe Aim Mutual Sdn Bhd dan kerajaan negeri membabitkan Felda Besout 1 sehingga Felda Besout 5 semula Khamis lalu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim ,Mohd Zaidi Aziz dan Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 1:50 PM