GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Selepas sembilan bulan melarikan diri, suspek yang menoreh muka seorang lelaki dengan pisau dalam kejadian pada 19 Oktober tahun lalu berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditangkap pada jam 9 malam, 19 Julai lalu di sebuah rumah di Bahau.

Katanya, polis bergegas ke rumah suspek sebaik menerima maklumat dan mendapati suspek berada di ruang tamu rumah dalam keadaan mabuk.

" Polis menangkap suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol bagi siasatan lanjut.

" Suspek turut mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod lampau berkaitan dadah," katanya hari ini.

Chang Hook berkata, suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis yang menjalankan pemeriksaan di rumah suspek pada 21 Julai lalu tidak menemui senjata digunakan ketika kejadian.

" Dalam kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan hingga bawah telinga dan koyak antara bawah pipi kiri hingga tepi bibir," katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran sebuah restoran dan kedai gunting rambut di Taman Meranti mendapati suspek mengejar mangsa dari sebuah kedai hingga ke tempat kejadian sejauh 80 meter.

" Ketika suspek mengejar mangsa, suspek mengeluarkan pisau bagaimanapun kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan tidak terakam oleh CCTV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 5:47 PM