SYARIFAH Norain (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan cuba membunuh anak perempuan. FOTO Bernama
SYARIFAH Norain (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan cuba membunuh anak perempuan. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya, pada 13 Julai lalu.

Tertuduh, Syarifah Norain Mohamad Zali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syarifah Norain yang tidak bekerja didakwa cuba membunuh anak perempuannya berusia setahun sembilan bulan, dengan membuangnya ke dalam longkang di Lorong Pandan di sini pada pukul 8.40 malam, 13 Julai.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam satu lagi pertuduhan, Syarifah Norain mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada anak yang sama pada 9.40 malam di tempat serta tarikh yang sama, dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan ke atas Syarifah Norain, yang tidak diwakili peguam sebelum hakim membenarkan ikat jamin RM12,000 dan menetapkan 26 Ogos depan, untuk fakta hukuman serta pengurusan kes.

NUR Anati (tengah) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu di laman sosial Twitter berkaitan kematian akibat Covid-19. FOTO Bernama
NUR Anati (tengah) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu di laman sosial Twitter berkaitan kematian akibat Covid-19. FOTO Bernama

Di kamar mahkamah sama, seorang penganggur didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Elesabet, kerana menyebarkan berita palsu di laman sosial Twitter berkaitan kematian akibat Covid-19, awal bulan lalu.

Tertuduh, Nur Anati Kamarudin, 28, dituduh menggunakan perkhidmatan rangkaian Twitter dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, telah menyebarkan berita tidak benar membabitkan dua kes kematian akibat Covid-19 di sebuah kilang di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan AP 3 Taman Ara Permai, Batu Berendam di sini pada pukul 9 pagi 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, Nur Anati dituduh di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 20 1 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam suatu kesalahan berterusan boleh didenda maksimum RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Badius Zaman Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, kerana kes berkenaan serius dan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon agar dikenakan hukuman yang ringan memandangkan dia telah dibuang kerja, selain menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:05 PM