DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa perusahaan mikro untuk menghubungi agensinya, TEKUN Nasional, bagi mendapatkan bantuan pembiayaan dan bukannya pergi kepada peminjam wang haram atau dikenali sebagai Ah Long.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau bimbang dengan laporan bahawa ramai usahawan pergi mencari peminjam wang haram dan bukannya agensi kerajaan yang dilantik untuk meminjam wang bagi mengekalkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sejak menerajui kementerian itu tahun lalu, beliau memastikan proses permohonan pinjaman di bawah TEKUN dipermudahkan dengan kurang kertas kerja dan masa pemprosesan yang lebih singkat.

"Malahan mereka yang disenarai hitam oleh CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) juga layak untuk memohon. Bagi mereka yang perlu meminjam wang bagi tujuan perniagaan, sila cari kami dan bukan Ah Long. Kadar faedah kami jauh lebih rendah dan kami menjaga kepentingan anda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata program pembiayaan itu juga bertujuan memberikan peluang kedua kepada usahawan yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut Wan Junaidi, TEKUN memperkenalkan skim pembiayaan khas bagi pengendali perniagaan informal yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Informal (SPIN) pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata sejumlah RM50 juta diperuntukkan di bawah skim ini yang akan memberi manfaat kepada 10,000 perniagaan informal di seluruh negara, menawarkan pinjaman RM1,000 hingga RM5,000 dengan tempoh pembayaran semula sehingga tiga tahun.

"Setakat 16 Julai, TEKUN sudah mengeluarkan pinjaman bernilai RM19.47 juta di bawah SPIN kepada 3,309 pengendali perniagaan informal di seluruh negara dengan Selangor mendahului dengan RM3.15 juta bagi 390 penerima, diikuti Sarawak RM3.04 juta (589 penerima) dan Terengganu RM2.54 juta (469 penerima)," katanya.

– BERNAMA

TAG: Wan Junaidi, Tekun, pinjaman, Ah Long, usahawan mikro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 11:37 PM