Jurey Latiff Rosli.
Jurey Latiff Rosli.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyambut baik pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang membenarkan sektor industri kreatif untuk mengadakan penggambaran pada fasa dua Pelan Pemilihan Negara (PPN).

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, bagaimanapun terdapat beberapa syarat agak sukar dipenuhi oleh sebahagian besar penerbit.

"Selepas meneliti syarat, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) serta tatacara permohonan penggambaran, kami dapati beberapa syarat agak sukar dipenuhi oleh sebahagian besar penerbit.

"Walaubagaimanapun, kami sedar bahawa syarat itu adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak. Keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan ini tetap kami syukuri kerana di kala pendemik Covid-19 masih belum reda dan negara masih belum mencapai imuniti kelompok, ia adalah penyelesaian terbaik buat masa ini.

"Kami juga menggesa agar langkah menjadikan premis Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk warga industri kreatif dapat disegerakan oleh pihak kerajaan agar imuniti kelompok dalam kalangan anak seni dapat dicapai secepat mungkin dan industri kreatif dapat dijana kembali untuk kemajuan negara," katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Jurey menerusi PTVM akan terus bersama membantu kerajaan membangunkan industri kreatif dalam keadaan selamat progresif dan berdaya saing.

"Penghargaan juga diucapkan kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas yang sudah berusaha membawa rayuan penggiat seni untuk kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sektor industri kreatif yang dijadualkan boleh bermula pada fasa ketiga dipercepatkan ke fasa dua adalah satu kejayaan kepada usaha PTVM dan menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada anak seni. PTVM berpuas hati dengan kelulusan kebenaran pengambaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:41 PM