FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Ambillah vaksin, itulah satu-satunya harapan kita supaya dapat dilindungi dari gejala Covid-19 yang boleh membawa maut," kata bekas pesakit Covid-19, Safwan Ramadhan Shiironi.

Safwan Ramadhan, 28, yang juga petugas barisan hadapan kesihatan mengajak orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin yang terbukti dapat melindungi komuniti daripada virus pembunuh itu.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Perlis berkongsi di Twitter dia sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada 26 Mac lalu namun disahkan positif wabak itu pada pertengahan Mei.

Katanya, biarpun disahkan positif Covid-19, gejala yang dialaminya tidak begitu teruk dan mampu pulih selepas lima hari.

"Arwah bapa yang meninggal dunia 14 Julai lalu selepas dua bulan bertarung dengan kesan sampingan Covid-19 amat memberi kesan kepada kami sekeluarga.

"Apatah lagi, kami tujuh beranak termasuk ibu dan adik beradik saya juga dijangkiti wabak itu.

"Jika arwah sempat menerima vaksin, mungkin gejala yang dialaminya tidak teruk seperti saya dan dapat diselamatkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

 Safwan Ramadhan dijangkiti Covid-19 pada Mei lalu.
Safwan Ramadhan dijangkiti Covid-19 pada Mei lalu.

Menurutnya, ibu dan bapanya, Shiironi Ghazali dan Noorida Saidin yang masing-masing berusia 57 tahun disahkan positif Covid-19 kategori lima manakala adik beradik yang lain pula berada pada kategori dua kerana hanya bergejala ringan.

"Alhamdulillah, keadaan ibu kini semakin pulih dan dia juga sudah menerima tarikh vaksin baharu pada bulan depan.

"Saya berharap orang ramai percayalah pada vaksin Covid-19 supaya kita mampu capai imuniti kelompok.

"Jangan tunggu sehingga berlaku kematian orang tersayang barulah sedar akan kepentingan mendapatkan vaksin," katanya.

Seorang lagi petugas barisan hadapan kesihatan, Maiziyatul Shahirah Sulaiman, 28, yang kini berkhidmat sebagai doktor pelatih di Klinik Kesihatan Sungai Buloh turut berkongsi saranan sama di laman Twitter miliknya.

Maiziyatul Shahirah yang juga sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada awal Jun lalu selepas menjadi kontak rapat salah seorang pesakitnya.

Berkongsi lanjut gejala Covid-19 yang dialaminya, Maiziyatul Shahirah berkata, dia hanya mengalami demam ringan serta selsema dan pulih selepas dua hari.

Maiziyatul Shahirah menyarankan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 agar negara berjaya mencapai imuniti kelompok.
Maiziyatul Shahirah menyarankan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 agar negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

"Sedih juga pada mulanya dan bimbang kerana memikirkan ibu dan bapa termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi. Ibu adalah bekas pesakit kanser manakala ayah pula menghidap hipertensi dan masalah jantung.

"Alhamdulillah, keputusan semua kontak rapat keluarga dan rakan sekerja adalah negatif termasuk anak dan suami saya yang tinggal serumah.

"Saya yakin ia mungkin disebabkan keberkesanan vaksin Covid-19 yang bukan saja melindungi diri kita daripada mendapat simptom yang teruk malah juga mampu melindungi orang sekeliling," katanya.

Katanya, orang ramai seharusnya percaya dengan keberkesanan vaksin Covid-19 dan terus konsisten menjaga diri dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun sudah mendapat vaksin.

"Sudah mendapat vaksin Covid-19 tidak bermakna kebal dengan jangkitan virus itu sebaliknya ia mampu melindungi diri kita daripada gejala lebih serius.

"Jadi daftarlah sebagai penerima vaksin Covid-19 kerana sudah terbukti melalui kajian data perubatan menunjukkan semua jenis vaksin berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan dimasukkan ke hospital.

"Kepada yang belum menerima janji temu vaksin diharapkan bersabar kerana kerajaan sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk kebaikan semua," katanya.

Terdahulu, topik mengenai individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 namun masih boleh dijangkiti wabak itu menjadi bualan di Twitter.

Rata-rata pengguna Twitter lain turut menceritakan pengalaman sama dijangkiti Covid-19 walaupun sudah menerima vaksin namun hanya bergejala ringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 4:37 PM