MASIDI, gambar fail. FOTO NSTP
MASIDI, gambar fail. FOTO NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di unit dialisis swasta yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Angsana, di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti itu dikenal pasti di daerah Papar.

Beliau berkata, kluster ini mula dikesan apabila pesakit buah pinggang yang juga seorang wanita berusia 66 tahun yang menjalani rawatan di unit dialisis swasta di Jalan Lintas, Kepayan tiga kali seminggu, disahkan positif dalam saringan bergejala pada 10 Julai lalu.

"Daripada 77 sampel yang diambil, 29 sampel dikesan positif Covid-19 termasuk tujuh kes baharu pada hari ini membabitkan kontak rapat di Kampung Seberang Benoni, Kampung Takis, Kampung Surati dan Taman Aman Suria di Papar.

"Sementara itu, 48 sampel didapati negatif dan 19 sampel lagi sedang menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, kawalan penularan penyakit, disinfeksi dan siasatan punca jangkitan masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, selain Kluster Angsana, Sabah turut mengesan satu lagi kluster iaitu Kluster Pauh di Kinabatangan membabitkan kes indeks seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun yang bekerja pekerja ladang (penyabit) di sebuah ladang sawit persendirian.

"Hasil saringan kemasukan ke ladang di Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran pada 12 Julai lepas mendapati keputusan kes indeks positif dan telah dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 12:21 AM