Ketua Jururawat, Zairin Zakariah, 42, bersama Penolong Pegawai Perubatan, Efi Cassey Kristus, 28 (kanan) memakai pakaian pelindung diri (PPE) dan memegang ketupat sempena Aidilfitri, Mei lalu. FOTO Arkib NSTP.
Ketua Jururawat, Zairin Zakariah, 42, bersama Penolong Pegawai Perubatan, Efi Cassey Kristus, 28 (kanan) memakai pakaian pelindung diri (PPE) dan memegang ketupat sempena Aidilfitri, Mei lalu. FOTO Arkib NSTP.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Masyarakat perlu beriltizam menjadikan Hari Raya Aidiladha, Selasa ini sebagai perayaan terakhir yang disambut secara terhad dengan wabak Covid-19.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, untuk itu, masyarakat perlu berkorban dan berjuang dengan bersungguh-sungguh bagi memutuskan rantaian Covid-19 secara habis-habisan.

Katanya, beliau percaya negara mampu pulih dan rakyat menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik menerusi bantuan pengambilan vaksin yang disasarkan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir 2021.

"Untuk menikmati kembali kehidupan sedemikian, kita perlu mempunyai disiplin tinggi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan terutama mengenai larangan merentas daerah atau negeri.

"Jadikanlah Hari Raya Korban yang bakal tiba ini perayaan terakhir kita bersedih ekoran pandemik Covid-19 dan tahun depan diharap kita mampu beraya dengan gembira bersama sanak saudara," katanya kepada Harian Metro.

Mohammad Shatar turut menasihati rakyat Malaysia supaya tidak mementingkan diri dan hanya fikirkan keseronokan untuk beraya, hingga sanggup menggunakan pelbagai alasan supaya dapat pulang ke kampung halaman.

Katanya, tindakan itu hanya mengundang risiko membawa pulang virus Covid-19 kepada ahli keluarga terutama warga emas, apatah lagi ketika Aidilfitri lalu terdapat kluster yang wujud disebabkan aktiviti rentas untuk menyambut raya.

"Ambil iktibar dengan insiden sebelum ini yang menyebabkan penularan kes dan wujudnya 21 kluster dalam komuniti akibat rentas negeri.

"Larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan masih lagi berkuat kuasa, justeru janganlah adakan keraian, keramaian dan kenduri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 1:56 PM