FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang pengasuh, suami serta anak saudaranya dari Taman Bukit Kempas, di sini, ditahan polis semalam, dipercayai terbabit mendera dua adik beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun sejak Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengasuh dan suaminya yang masing-masing berusia 37 dan 57 tahun manakala anak saudara pengasuh itu iaitu seorang remaja perempuan bawah umur ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, kira-kira jam 5.31 petang semalam.

Katanya, penahanan tiga suspek kes dera dua beradik itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), hasil laporan polis yang dibuat semalam.

"Pengasuh serta suaminya yang juga warga tempatan itu dipercayai adalah suspek utama kes dera dua beradik lelaki ini.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah dua beradik warga tempatan berusia dua dan tiga tahun, yang dihantar ke pengasuh itu oleh ibu bapa mangsa yang masing-masing bekerja sebagai pekerja industri dan tukang masak, sejak 2018 lagi, ketika kedua-dua mangsa berusia setahun serta enam bulan lagi.

"Namun, pada 10 Jun lalu kira-kira jam 3 petang, kedua-dua mangsa dipercayai didera oleh pengasuhnya dengan cara dipukul, disepak dan dipijak malah kedua-dua mangsa juga dilaporkan pernah dilihat didera oleh pengasuh dan ahli keluarganya.

"Hasil pemeriksaan dibuat pakar Hospital Sultanan Aminah (HSA) Johor Bahru mendapati kedua-dua kanak-kanak itu mengalami kecederaan 'soft tissue injury' dan kini sedang dirawat di hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pengasuh dan suaminya itu kini direman tujuh hari sehingga 23 Julai ini bagi siasatan lanjut.

Manakala remaja perempuan yang juga anak saudara pengasuh itu hanya direman tiga hari berikutan masih di bawah umur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 7:17 PM