ANTARA pemuzik jalanan yang berpeluang mengadakan persembahan di PPV WTC di ibu negara sejak 8 Julai lalu. FOTO Ihsan MYBC
ANTARA pemuzik jalanan yang berpeluang mengadakan persembahan di PPV WTC di ibu negara sejak 8 Julai lalu. FOTO Ihsan MYBC
Yusmizal Dolah Aling

yusmizal @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagaikan mendapat talian hayat, itu luahan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) apabila diberi kebenaran membuat persembahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 8 Julai lalu.

Presiden MYBC Wady Hamdan berkata, inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu secara tidak langsung memberikan keceriaan di PPV.

Katanya, ia memberikan peluang kepada komuniti penghibur jalanan memberi sumbangan sosial kepada masyarakat menerusi persembahan muzik sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain menyediakan hiburan santai kepada pengunjung PPV.

"Ia juga dapat membantu komuniti penghibur jalanan sendiri untuk memperoleh pendapatan selepas terjejas akibat pandemik.

"Kita juga turut berterima kasih kepada Badan Bertindak Covid-19 (CITF), pegawai kementerian yang bertugas serta pihak pengurusan WTCKL yang memberi kerjasama yang cukup baik kepada komuniti ini dan alhamdulillah, sambutan memang menggalakkan," katanya.

Wady berkata, setiap hari, dua slot persembahan diadakan di situ bermula 10 pagi hingga 6 petang dengan penampilan pemuzik berbeza.

Mereka dijangkakan akan mengadakan persembahan di situ sehingga November ini.

"MYBC juga diberi ruang untuk menjalankan persembahan di PPV berikutnya di Shah Alam tidak lama lagi.

"Kami berharap lebih banyak aktiviti busking di PPV di negeri lain akan dibuka tidak lama lagi bagi memberi peluang kepada ahli MYBC di seluruh Malaysia menjana pendapatan," katanya.

MYBC mempunyai lebih 13 ribu ahli dan sudah beroperasi sejak 2012.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 11:43 PM