MOHD Zaid. FOTO Arkib NSTP
MOHD Zaid. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Polis menerima laporan berhubung kes anggotanya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) yang didakwa meminta suapan seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan dibuat selepas gambar anggota lengkap berpakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dimuat naik di laman Twitter.

"Berdasarkan ciapan di Twitter, anggota itu dituduh meminta suapan wang sekali gus mencemarkan imej PDRM.

"Ciapan itu dibuat jam 9.24 malam tadi yang kemudiannya dipadam oleh pemilik akaun twitter berkenaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun menggunakan nama 'Zulhelmiismail_ @iAm_ZuL' untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seseorang serta memuatnaik perkongsian palsu dan jelik di laman sosial.

"Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang turut menjalankan siasatan sekiranya wujud salah laku oleh petugas SJR," katanya.

Maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804, 03-89114222 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 3:02 PM