GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung kes penyebaran rakaman video berunsur hasutan yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, individu yang disyaki menghasilkan rakaman video berdurasi enam minit 49 saat itu memperkenalkan diri sebagai Dr Han @ Gigi Han.

"Melalui rakaman video, lelaki terbabit menyeru orang ramai mengambil bahagian dengan menukar gambar profil di media sosial menggunakan warna hitam atau monokrom mulai 1 Julai sehingga 12 Julai (lalu).

"Lelaki itu juga meminta memuat naik gambar dengan tanda pagar #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada 12 Julai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, tindakan dinamakan Code Black itu bermaksud keadaan darurat hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital, selain bertujuan memberi sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan seperti pegawai perubatan tetap.

Katanya, lelaki itu juga mendakwa sistem diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Justeru, beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588).

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ng Guan Seng di talian 03-88862145.

Orang ramai juga dinasihati tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis dan menggunakan media sosial dengan bijak, berhemah, tidak mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:48 PM