UGGAH ketika melawat PPV Klinik Kesihatan Bra'ang Bayur di Padawan, hari ini. FOTO Melvin Joni.
UGGAH ketika melawat PPV Klinik Kesihatan Bra'ang Bayur di Padawan, hari ini. FOTO Melvin Joni.
Melvin Joni
am@hmetro.com.my


Kuching: Kerajaan Sarawak akan memberi vaksin berdos tunggal Covid-19 iaitu CanSino kepada individu yang enggan divaksin khususnya komuniti di kawasan terpencil seperti Penan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia memandangkan masih terdapat segelintir masyarakat di luar bandar yang tidak mahu divaksin, walaupun pelbagai usaha, galakan serta jaminan mengenai vaksin sudah dilakukan.

"Seperti di Limbang, komuniti Penan di sana tidak mahu divaksin.

"Jadi mungkin vaksin berdos tunggal Cansino paling sesuai untuk mereka yang 50-50 ini kerana kalau menggunakan vaksin sedia ada, selepas disuntik mereka tidak akan mahu datang untuk suntikan kedua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Bra'ang Bayur di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Pengangkutan yang juga Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik; Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Eunice Melissa Joseph dan Pegawai Kesihatan Menguasa Klinik Kesihatan Bra'ang Bayur Dr Arvin Thiagarajah.

Bagaimanapun, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, buat masa ini, Sarawak belum lagi menerima bekalan vaksin CanSino walaupun sudah dijanjikan akan menerima vaksin berkenaan pada Julai ini.

"Kita masih menunggu, tetapi apa pun kita akan meneruskan program vaksinasi kerana objektif kita adalah memberikan vaksin kepada rakyat secepat mungkin.

"Kita memutuskan untuk tidak menunggu vaksin CanSino kerana kita tidak tahu bila ia akan sampai," katanya.

Sementara, Uggah berkata, Sarawak belum merancang untuk memberi vaksin kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah dan tumpuan sekarang hanya untuk memvaksin golongan berusia 18 tahun ke atas.

Menurutnya, semalam sehaja, Sarawak telah memberi sejumlah 82,068 dos suntikan vaksin kepada penerima yang layak di seluruh negeri, sekali gus merekodkan angka suntikan dos tertinggi setakat ini.

Selain itu, katanya, setakat semalam, sejumlah 2,022,432 dos suntikan vaksin sudah diberikan kepada penerima yang layak di seluruh Sarawak.

"Sebanyak 67 peratus adalah penerima dos pertama dan 27 peratus penerima dos kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 4:57 PM