Foto ihsan Sarawak.
Foto ihsan Sarawak.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sarawak beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

"Selepas semua agensi terbabit termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti nilai-nilai ambang negeri ini, MKN bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang ditetapkan.

"Peralihan fasa PPN bagi negeri Sarawak akan berkuat kuasa mulai 14 Julai ini. Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang ditetapkan bagi fasa dua boleh dirujuk di laman sesawang MKN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju untuk memberi kebenaran kepada semua pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi.

"Kebenaran untuk beroperasi berkuat kuasa 13 Julai (esok)," katanya.

Mengulas berhubung penguatkuasaan di sektor pengilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, semalam pasukan khas melaksanakan 78,975 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,477.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,087 buah kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 buah asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan berkenaan, sebanyak 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP )yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 7:15 PM