GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hamzah Osman


Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal melaksanakan tiga inisiatif utama dalam usaha memulihkan semula ekonomi penduduk pulau peranginan itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif itu termasuk memberi pelbagai insentif bagi menarik kembali kehadiran pelancong dan penyampaian bantuan kepada penduduk terbabit.

Katanya, semua langkah yang akan dilaksanakan sudah mendapat persetujuan Jemaah Pengarah LADA yang bermesyuarat secara dalam talian, hari ini.

"Inisiatif pertama adalah pengecualian atau pengurangan kadar sewaan premis niaga dan bayaran yuran pengurusan produk komersial milikan LADA bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Kedua, melaksanakan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM91,400 bagi membantu komuniti Langkawi memperbaiki kehidupan harian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Rancangan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-REC) 2021-2022 menjadi inisiatif ketiga dengan sasaran kedatangan 590,000 pelancong dan janaan pendapatan mencecah RM288.4 juta pada suku keempat tahun ini.

"Menerusi inisiatif sama, LADA mensasarkan kedatangan 2.5 juta pelancong, sekali gus menjana RM1.17 bilion pendapatan pada tahun hadapan.

"T-REC adalah pelan jangka pendek merangkumi tiga fasa, lapan strategi dan 24 inisiatif dilaksanakan dalam tempoh enam bulan hingga setahun," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan T-REC perlu disokong beberapa strategi termasuk pulau pelancongan itu perlu mencapai imuniti kelompok dengan 76,400 penduduknya lengkap menerima dos vaksin Covid-19.

Katanya, selain itu ejen pelancongan perlu menggiatkan promosi termasuk menggunakan media baharu seperti video pendek, Tik Tok, IG Reel dan Facebook yang dapat menggamit minat pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 5:24 PM