Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Kedah menyerahkan siasatan lanjut kepada polis berhubung dakwaan berlaku penganiayaan dalam operasi menghapuskan haiwan liar oleh anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kejadian berkenaan juga sedang disiasat oleh PBT terbabit.

"Kita tak tahu situasi sebenar kejadian itu, mungkin ada sebab anggota penguat kuasa berbuat demikian, namun kita serah kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular kejadian terbabit yang didakwa berlaku di Taman Tiram, Kulim, baru-baru ini.

Menurutnya, PBT hanya akan melupuskan anjing liar melalui kaedah tembakan sekiranya haiwan itu bertindak agresif atau cuba menerkam manusia.

Katanya, ketika ini kaedah menangkap haiwan jalanan itu menggunakan jaring sebelum menjaga dan meletakkannya dalam kurungan dengan jarak satu meter atau diserahkan pada pihak yang mahu menjaganya.

"Sebelum ini kita lupuskan haiwan ini dengan cara menembak dan menjerut, namun pencinta haiwan mendakwa ia adalah tindakan zalim, jadi kita tidak guna kaedah itu lagi.

"Dalam mesyuarat PBT sebelum ini, terdapat juga cadangan agar anjing liar jantan dikasi, manakala anjing liar betina diberi ubat agar tidak bunting, namun perkara ini akan diteliti," katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung video tular mendakwa berlaku penganiayaan ketika operasi menghapuskan haiwan liar oleh anggota penguat kuasa sebuah PBT.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 1:41 PM