ZURAIDA (dua kanan) pada Majlis Pelancaran PPV MOVAK Bagi Komuniti di Dataran Kluang. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
ZURAIDA (dua kanan) pada Majlis Pelancaran PPV MOVAK Bagi Komuniti di Dataran Kluang. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Seramai 200,000 penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan kos rendah di Selangor akan menerima vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usaha vaksin bersasar untuk penduduk perumahan itu adalah julung kali diadakan.

Menurutnya, pemberian vaksin itu dibuat menerusi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

"Untuk fasa pertama, ia akan membabitkan empat PPR dan 96 perumahan kos rendah di Selangor membabitkan penggunaan sebanyak 15 bas Movak yang diubah suai.

"Kita sudah bersedia termasuk penjadualan dan logistik selain suntikan vaksin akan dilakukan sebaik bekalannya diterima," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran PPV Movak Bagi Komuniti di Dataran Kluang di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Sementara itu, pihaknya juga yakin pejabat daerah di seluruh negara sudah bersedia untuk proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan banjir.

"Itu satu cadangan yang baik. Kita boleh kenal pasti kawasan-kawasan banjir. Kita boleh jangkaui dulu tempat-tempat seperti itu dan ia adalah satu persediaan awal dan bagus," katanya.

Zuraidah turut berkata, program Movak membabitkan golongan peniaga kecil yang meliputi penjaja pasar malam, pasar tani dan pagi dan lain-lain peniaga yang termasuk dalam kategori penjaja dan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) setakat ini berjalan lancar.

"Program ini akan dilaksanakan di seluruh negara dengan mensasarkan lebih daripada 500,000 penjaja dan sehingga kini seramai 504 penjaja sudah menerima vaksin berkenaan di Ampang, Selangor dan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 5:54 PM