KILANG Top Glove
KILANG Top Glove
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor sudah mengenalpasti lapan hotel dipercayai dijadikan transit kepada 1,606 pekerja kilang sarung tangan, Top Glove selepas mereka dipindahkan dari asrama di Petaling Jaya sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kilang terbabit yang melakukan pemindahan pekerja berkenaan.

"Kira-kira 1,606 pekerja Top Glove dibawa dari asrama di Petaling Jaya, dan itu dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar dilaksanakan di asrama itu.

"Lapan hotel (menempatkan pekerja) sudah dikenal pasti dan kita memastikan mereka di hotel itu tidak dapat keluar sekarang ini serta menjalankan saringan ke atas 1,606 pekerja itu.

"Polis juga menjalankan siasatan ke atas syarikat berkenaan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Terdahulu, satu video tular di mana seorang wanita mendakwa peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor disebabkan tindakan pengusaha kilang sarung tangan memindahkan pekerjanya positif Covid-19 daripada asrama pekerja terletak di daerah Petaling Jaya dan menempatkan di hotel di daerah Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata, sebanyak 7,922 pemeriksaan dijalankan menerusi Op Patuh sehingga semalam di seluruh Selangor di mana sebahagian besar pemeriksaan adalah di kilang dan premis perniagaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 266 kompaun dikeluarkan oleh polis di mana kebanyakannya kompaun di kawasan kilang kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Kebanyakan yang dikompaun tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas MySejahtera dan ada sebahagiannya menjalankan aktiviti atau pengilangan tanpa pengesahan.

"Ada juga dapat pengesahan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam perkhidmatan perlu tetapi hakikatnya mereka menjalankan aktiviti selain yang dibenarkan," katanya.

Bagi operasi pematuhan PKPD pula, sejumlah 1,045 kompaun dikeluarkan terutamanya berkaitan pemakaian pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal dan imbas MySejahtera.

"Dari segi peratus pematuhan di Selangor, 90 ke 92 peratus yang patuh..tetapi lagi lapan peratus di Selangor ini membabitkan jumlah yang banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:01 PM