Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
Oleh Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Guan Eng memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co di Mahkamah Tinggi semalam, supaya keputusan membabitkan kes berkenaan boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Permohonan itu akan didengar Isnin ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi media memaklumkan, pihaknya akan membantah permohonan itu.

Katanya, permohonan itu hanya difailkan semalam sedangkan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan pada Disember lalu.

"Pendakwaan sudah menyenaraikan beberapa saksi dari Pulau Pinang yang akan dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Sesyen daripada Selasa hingga Jumaat," katanya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun, 12 hingga 16 Julai, 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember 2021.

Pada perbicaraan itu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 80 hingga 90 orang saksi termasuk saksi formal.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.
Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi, pada Mac 2011.

Bagi kesalahan itu, Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:32 PM