TERTUDUH (kiri) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah. FOTO Juwan Riduan
TERTUDUH (kiri) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pembantu tadbir di sebuah jabatan di negeri ini yang berdepan dua pertuduhan rasuah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Sahiful Ag Ahmad berdepan pertuduhan menerima wang tunai sebanyak RM20,000 daripada pemilik syarikat Mulia Jelata Sdn Bhd dan RM10,000 daripada Syarikat Majorra Logistics Sdn Bhd.

Tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Pejabat Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Cawangan Kota Kinabalu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada September 2019 di perkarangan tempat letak kereta Bay 21, Jalan Bayu 21, Off Jalan Istiadat.

Sahiful didakwa menerima wang berkenaan untuk urusan membabitkan kerja tug bot di Pelabuhan Sepanggar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai pada 11 November 2019 di Restoran Al-Fresco, Magellan Sutera Harbour.

Suapan berkenaan bagi membantu mendapatkan surat kebenaran beroperasi bot tunda di Pelabuhan Kota Kinabalu.

Pertuduhan pertama dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan kedua dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin .

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melaporkan diri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh dua bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Psk Rekraj manakala tertuduh diwakili peguam dari Shahlan Jufri & Co dan pra perbicaraan pengurusan kes ditetapkan pada 27 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 12:58 PM