GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Aktiviti permainan secara dalam talian mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Sabah yang membabitkan ahli keluarga dan rakan sekerja di Mukim Lumadan, Beaufort, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Lumadan itu dipercayai tercetus disebabkan kegagalan mengamalkan penjarakan fizikal ketika bermain secara berkumpulan.

Katanya, kes indeks adalah belia berumur 19 tahun yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK Antigen di sebuah klinik swasta di pekan Beaufort, pada 29 Jun lalu.

"Lelaki berkenaan demam dan batuk sejak 24 Jun. Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran kes indeks turut didapati positif Covid-19.

"Berdasarkan siasatan, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ketika bermain permainan secara dalam talian atau online gaming dikenal pasti menjadi punca penularan," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kluster itu merekodkan 46 kes positif Covid-19 sejak dikesan pada 29 Jun lalu termasuk dua kes baharu yang dilaporkan semalam daripada 110 saringan yang dijalankan.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan semalam yang membabitkan kes penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti di Kampung Istimewa, Sandakan.

Masidi berkata, ini kali kedua kampung yang sama menjadi kluster Covid-19 di daerah Sandakan selepas kali pertama dilaporkan pada 14 November tahun lalu.

Beliau berkata, Kluster Istimewa Dua itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang lelaki berumur 48 tahun dikesan positif Covid-19 ketika menjalani saringan bergejala di Klinik Kesihatan Sandakan pada 25 Jun lalu.

"Saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 disahkan positif termasuk dua kes baharu, manakala seramai 229 orang didapati negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan ujian," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, daerah Pitas mencatat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 semalam dengan 128 kes baharu berbanding hanya 17 kes yang dilaporkan kelmarin.

Katanya, daripada 128 kes itu, sebanyak 126 kes dikesan menerusi saringan Kluster Tanjung Pitas yang tercetus di Kampung Naruntung, Pitas pada 3 Julai lalu dipercayai berpunca daripada majlis pengebumian.

"Kluster Tanjung Pitas disyaki berpunca daripada aktiviti majlis pengebumian dan juga kebarangkalian pergerakan di antara Pulau Banggi dan Pitas yang menyumbang kepada jangkitan membabitkan ramai penduduk," katanya.

Kluster Tanjung Pitas tercetus selepas suri rumah berumur 26 tahun dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di Hospital Pitas pada 27 Jun lalu.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan sebanyak 279 kes baharu positif Covid-19 semalam dengan tiga kematian, masing-masing satu kematian di daerah Semporna, Lahad Datu dan Beaufort, manakala seramai 203 pesakit dilaporkan sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 10:36 AM