FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu dan Flat Indah Jaya, Sandakan, Sabah serta Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah ditamatkan mulai esok.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan 329 ujian saringan di Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu dan 38 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, KKM mendapati trend kes sudah menurun, kluster terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu esok jam 11.59 malam seperti yang dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD Flat Indah Jaya, Sandakan, Sabah turut ditamatkan atas alasan sama.

"Sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM sudah melakukan 516 ujian saringan dan 13 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM mendapati trend kes sudah menurun, kluster terkawal manakala semua kes sudah menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 906 ujian saringan dijalankan KKM di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim sepanjang tempoh PKPD.

"78 daripadanya dilaporkan positif Covid-19. Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu mulai esok jam 11.59 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:41 PM