Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sudah menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Perdana Menteri serta merta.

Majlis Presiden juga mengambil maklum kenyataan Peguam Negara berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri.

Dalam kenyataan media secara bersama, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Peguam Negara bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua parti politik yang menyokong beliau.

"Ini termasuk Presiden Umno, yang sudah dipersembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020.

"Maka apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka Perdana Menteri sudah hilang sokongan asas parti itu dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang," kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, mereka berkata Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana sudah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, PH akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis Covid-19 dan program vaksinasi lebih pantas serta langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui

dasar diteliti dan diumum oleh jawatankuasa PH.

"Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis Covid-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan.

"Majlis Presiden turut berpendirian bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil memandangkan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan," kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:13 PM