GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Terengganu, Sabah dan Perak mulai 10 hingga 23 Julai depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Terengganu membabitkan tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Dungun iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam.

Katanya, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Mangkubau Laut, Pitas, Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu, Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu, Felda Umas 1,3 dan 4, Kalabakan dan Fasa 4B serta Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu.

Sementara itu, dua kawasan dikenakan PKPD di Perak adalah Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang.

"Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dan setakat ini 28 kes positif Covid-19 hasil saringan ke atas 360 lokaliti dalam Mukim Sura.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di situ.

"Pelaksanaan PKPD itu bertujuan untuk mengawal pergerakan penduduk sekaligus mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Mangkubau Laut, Pitas, Sabah pula berikutan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti itu yang merekodkan 11 kes positif hasil ujian saringan terhadap 70 individu.

Katanya, tujuannya juga bagi mengawal pergerakan penduduk untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, PKPD di

Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu adalah kerana sebab yang sama selepas mengesan 14 kes positif daripada 20 individu yang menjalani ujian saringan Covid-19.

"Pelaksanaan PKPD di Felda Umas 1,3 dan 4 pula kerana KKM mendapati trend kes meningkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti itu.

"Ia hasil 29 ujian saringan dijalankan dengan 14 daripadanya dilaporkan positif Covid-19," katanya.

Menurut Ismail Sabri, PKPD dikenakan di Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu kerana peningkatan kes dengan lapan kes positif direkodkan sehingga kini.

"PKPD di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang pula kerana terdapat trend kes meningkat.

"Sebanyak 523 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 3,271 penduduk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:11 PM