Menteri Utiliti Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom (tengah) menjawab soalan dari pengamal media selepas melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 anjuran Mydin, dan Sarawak Energy Berhad di Mydin Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Utiliti Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom (tengah) menjawab soalan dari pengamal media selepas melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 anjuran Mydin, dan Sarawak Energy Berhad di Mydin Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching : Sarawak dijangka mampu beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan trend kes jangkitan Covid-19 yang mula menurun sejak beberapa hari lalu.

Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sejak beberapa hari lalu Sarawak mencatatkan kurang 300 kes sehari dan ia antara petanda program vaksinasi sudah mula menunjukkan keberkesanan.

Ini kerana katanya, lebih 60 peratus penduduk negeri ini kini sudah menjalani proses vaksinasi sejak ia dilaksanakan beberapa bulan lalu.

"Jika keadaan ini berterusan, saya percaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan meneliti bagaimana kita dapat melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) supaya lebih banyak aktiviti ekonomi dapat dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Mydin Vista Tunku di sini, hari ini.

Sarawak merekodkan jumlah jangkitan harian Covid-19 bawah 300 kes sejak tiga hari lalu dengan 286 kes pada Selasa, 289 pada Rabu dan hari ini sebanyak 281 kes.

Berikutan kemampuan memberi vaksin kepada lebih separuh daripada 2.08 juta rakyat yang layak setakat ini, Sarawak menetapkan untuk menyelesaikan program vaksinasi menjelang penghujung Ogos.

Mengenai PPV Industri di Mydin Vista Tunku, Dr Rundi berkata ia antara usaha kerajaan untuk mempercepatkan program vaksinasi di Sarawak.

PPV berkenaan mampu memberi 1,000 dos vaksin sehari dan mensasarkan 3,042 penerima vaksin dos pertama untuk tempoh tiga hari sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:52 PM