Idrus Harun
Idrus Harun
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menegaskan penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan hendaklah ditentukan oleh ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti atau mana-mana pemimpin parti politik.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, penentuan itu berdasarkan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), ia merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk kerajaan sedia ada yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya.

Idrus mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta.

Oleh itu, Idrus berkata, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:42 PM