Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pas tetap memberi sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, termasuklah sokongan tidak berbelah dalam kalangan 18 Ahli Parlimen parti itu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara, khususnya dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

"Pas menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, terutama bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pas dan Umno sebelum ini bekerjasama menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) selepas dicetuskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia ketika Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Pas kemudian menyertai gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) sebelum ia didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos tahun lalu.

Malam tadi, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu membuat keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:38 PM