GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 30 kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani didapati positif Covid-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kakitangan hospital yang positif terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.

"Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu sahaja yang ditutup untuk proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

"Bagaimanapun mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh temujanji dan jadual akan disusun semula," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup selepas 100 kakitangannya dijangkiti Covid-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

Mesej itu turut menyatakan terdapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar hospital hanya mengambil dan merawat kes yang benar kecemasan sahaja berikutan penularan virus varian berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak resah dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Katanya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:11 PM