ANGGOTA PPM Kudat menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas melalui Op Benteng di Kudat. FOTO Ihsan PPM.
ANGGOTA PPM Kudat menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas melalui Op Benteng di Kudat. FOTO Ihsan PPM.
Juwan Riduan


Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) menemui 1,350 bungkus rokok tanpa cukai dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Perapat Limau- Limauan, di sini, semalam.

Rokok berkenaan dirampas anggota PPM Kudat ketika menjalankan operasi Op Benteng Covid-19 di kawasan berkenaan kira-kira 9 malam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, ketika operasi, anggota mengenal pasti sebuah kenderaan yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemerhatian dan pemantauan dilakukan namun tiada individu yang datang menuntut kenderaan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui sejumlah 1,350 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.

"Nilai rokok dan kenderaan dianggarkan bernilai RM40,250," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, masyarakat boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:34 AM