Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tiga lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif Covid-19 bermula 8 Julai hingga 21 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu ialah dua perkampungan Orang Asli, Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin, Pahang serta Kampung Sri Menanti, Tawau di Sabah.

Katanya, enam kes positif Covid-19 direkodkan di perkampungan Orang Asli hasil daripada 120 ujian saringan yang dilakukan, manakala di Kampung Sri Menanti terdapat peningkatan kes yang ketara apabila 15 kes positif dikesan.

"Selain itu, perluasan lokaliti PKPD dilaksana di Perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu yang terdiri daripada gugusan beberapa buah kampung iaitu Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo.

"Sebanyak 215 kes positif direkodkan hasil dari 1,339 ujian saringan yang dilakukan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut sama adalah Kampung Mambong, Kuching di Sarawak selepas 19 kes positif direkodkan hasil daripada 36 ujian saringan yang dilakukan.

Menurutnya, semua perluasan lokaliti Pulau Gaya dan Kampung Mambong bermula Khamis ini hingga 21 Julai.

Tambahnya, penamatan awal PKPD dilaksana di Kampung Kuala Merotai, Kalabakan di Sabah selepas 133 ujian saringan dan 18 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"PKPD juga ditamatkan di Kampung JKR Lama dan Kampung Pangi Hujung di Kunak; Kampung Kebayau, Kota Belud dan Kampung Likas di Sabah.

"Penamatan itu selepas KKM selesai menjalankan saringan dan penurunan kes terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:57 PM