Hotel Renaissance Johor Bahru sumbang makanan kepada petugas di PPV Dewan Raya Bandar Seri Alam, Masai. FOTO Ihsan Hotel Renaissance
Hotel Renaissance Johor Bahru sumbang makanan kepada petugas di PPV Dewan Raya Bandar Seri Alam, Masai. FOTO Ihsan Hotel Renaissance
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Demi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, Hotel Renaissance Johor Bahru mengedarkan makanan kepada mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Raya Bandar Seri Alam, Masai di sini, baru-baru ini.

Pengurus Besarnya, Gagan Singh berkata, agihan 500 pek makanan dilakukan mulai 20 hingga 27 Jun lalu.

Beliau berkata, sumbangan itu sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang tidak pernah mengenal lelah berusaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Ia juga antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami menerusi 'SERVE 360 Doing Good In Every Direction'.

"Kami mengutamakan standard kebersihan dalam penyediaan makanan yang bernutrisi tinggi itu," katanya semalam.

Menurut Gagan, sajian nasi yang disediakan oleh kumpulan kulinari hotel diagihkan dengan bungkusan makanan khas bagi memastikan ia tahan panas malah mengandungi makanan sampingan serta buah potong.

"Kami ingin memberi kembali kepada komuniti setempat dan ia menjadi sebahagian daripada tradisi Hotel Renaissance Johor Bahru, seiring dengan program 'SERVE 360 Marriott International'.

"Ini adalah cara kami untuk mengenang usaha semua petugas barisan hadapan serta mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan sikap tidak mementingkan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 5:01 PM