GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Tiada pemberian dua dos vaksin dengan bayaran RM50 ditawarkan kepada penduduk di Pulau Pinang.

Demikian penafian dibuat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP) selepas tular kandungan mesej di aplikasi WhatsApp berhubung pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bersama pengurusan Sunway Carnival menawarkan pemberian vaksin dengan bayaran bernilai RM50.

Menurut Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata, orang ramai hanya boleh mendapatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) sahaja.

"Adalah ditegaskan bahawa MBSP tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memberi vaksin Covid-19.

"Buat masa ini , hanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab dalam pemberian vaksin itu.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan mana-mana informasi yang tidak sahih dan segera mendaftar mendapatkan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu tular kandungan mesej di aplikasi WhatsApp menyatakan bahawa MBSP dan Sunway Carnival menawarkan kadar vaksin bernilai RM50 untuk dua kali dos suntikan.

Kandungan mesej itu juga menyebut, mereka berminat mendapatkan vaksin berkenaan diminta memberikan nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon serta status kesihatan sama ada berpenyakit kritikal atau sebaliknya kepada nombor diberikan selewat-lewatnya jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:56 PM