Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perancangan strategik menangani Covid-19 sangat penting bagi memastikan Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang juga pusat utama ekonomi serta populasi terpadat di negara ini dapat dipulihkan segera.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, sememangnya rakyat khususnya kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini akan merungut.

Beliau berkata, pelan peralihan ke Fasa 2 dan seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berperingkat bersandarkan kepada tiga indikator utama nilai ambang utama iaitu indeks purata kes Covid-19 baru harian per penduduk negeri, kapasiti penggunaan unit rawatan rapi (ICU) hospital negeri dan kadar vaksinasi populasi negeri perlu dirancang teliti dan dilaksanakan dengan telus.

"Dengan adanya pemantauan berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pelan perubahan fasa ini, semua pihak perlu bersatu dari peringkat atasan kepimpinan sehingga kepada penduduk secara umum sama ada dari agensi kerajaan, swasta dan badan sukarelawan.

"Pembabitan kepimpinan tempatan di kawasan perumahan, kampung dan mukim penting bagi memastikan penduduk di bawah kawasan mereka mendapatkan vaksinasi lengkap, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta membuat pemeriksaan saringan swab jika perlu bekerja di luar rumah.

"Dengan peningkatan vaksinasi, jumlah kes disaring dengan lebih ramai lagi walaupun tidak bergejala lagi dapat memperbaiki nilai ambang negeri untuk keluar dari Fasa 1 sekarang," katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan, berkuatkuasa esok negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis mencapai ketiga-tiga nilai ambang dan beralih ke Fasa 2 PPN.

Mengulas lanjut, Dr Rosnah berkata setiap orang yang perlu bekerja di luar rumah dalam kawasan yang padat, lingkungan tertutup dan dalam jangkamasa yang panjang seperti di kilang, pasar dan institusi perlu membuat saringan kesihatan ujian calitan Covid-19 dan mendapat vaksinasi lengkap sebagai saringan untuk masuk ke tempat kerja.

"Semakin cepat kadar vaksinasi dan semua bertanggungjawab untuk mematuhi SOP dan membuat ujian calitan akan dapat mempercepatkan lagi kawasan Fasa 1 PPN untuk pulih dan beralih ke Fasa 2 dan seterusnya.

"Di samping itu setiap individu perlu memastikan ahli keluarga boleh memahami situasi semasa dan bertindak secara positif bagi memastikan kesihatan mental yang sihat.

"Dapatkan bantuan segera dari sokongan sosial untuk jangkamasa pendek dari segi bantuan makanan dan dapatkan kemahiran lain secara dalam talian berkaitan banyak peluang latihan kemahiran yang membolehkan ekonomi keluarga akan dapat dipulih lebih cepat," katanya.

Apa yang penting, katanya, kerajaan perlu peka bahawa pelaksanaan PKPD berterusan boleh membahayakan aspek kesihatan mental di samping usaha membendung kesan penyakit fizikal iaitu jangkitan Covid 19.

Beliau berkata, imbangan kepada masalah itu perlukan maklumat dari kerajaan dan penguatkuasaan yang telus dan adil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:13 PM