GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video tular di aplikasi TikTok hari ini berkenaan dakwaan penyebaran penyakit Covid-19 oleh pekerja kilang sarung tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis sudah meneliti kandungan video itu.

Katanya, video berdurasi selama 3.04 minit itu memaparkan seorang wanita warganegara tempatan yang memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.

"Wanita itu mendakwa peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor adalah kerana tindakan pengusaha kilang sarung tangan memindahkan pekerjanya positif Covid-19 daripada asrama pekerja terletak di daerah Petaling Jaya dan menempatkan mereka di dua hotel di daerah Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Beliau juga mendakwa terdapat kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang sarung tangan itu menyebabkan seluruh asrama pekerja di kawasan Sungai Way daerah Petaling Jaya dikenakan tindakan PKPD namun kilang itu masih beroperasi sepenuhnya.

"Pada 4 Julai 2021, polis menerima laporan berkenaan video tular itu kerana perbuatan individu dalam video mendatangkan ketakutan kepada masyarakat bahawa penularan pandemik Covid-19 di Selangor adalah berpunca daripada tindakan pengusaha kilang itu yang tidak mematuhi arahan PKPD," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Justeru, katanya, satu kertas siasatan sudah dibuka Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara terhadap pengusaha kilang itu mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit kepada nyawa dan Seksyen 22(b) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Manakala siasatan terhadap individu di dalam video yang tular dijalankan mengikut Seksyen 505(b) KK kerana menyebarkan satu kenyataan yang mendatangkan khianat awam menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

"Pihak polis mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih peka dan prihatin sebelum menyebarkan apa-apa maklumat.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhubung dengan pihak berwajib jika mempunyai maklumat pelanggaran PKP," katanya.

Tular di media sosial hari ini yang memaparkan Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris mendakwa kilang sarung tangan terkemuka menyorokkan pekerja di dua hotel di Klang.

Kilang berkenaan yang didakwa berada dalam kawasan PKPD dikatakan tetap beroperasi dengan kapasiti penuh 100 peratus.

Nazilah mendakwa kilang itu adalah antara punca meresahkan rakyat Selangor dengan peningkatan kes harian Covid-19 apabila pekerja yang 'dilarikan dan disorokkan' itu dikatakan turut menyebarkan virus dalam komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:01 PM