Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Perak dijangka mampu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih cepat menerusi peningkatan kadar suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau menjangka negeri itu boleh melakukan sebanyak 25,000 hingga 30,000 suntikan sehari selepas menerima 688,000 dos vaksin, bulan ini.

Menurutnya, dalam merealisasikannya, Perak menyasarkan lebih banyak pemberian suntikan vaksin kepada rakyat pada peralihan fasa kedua PPN.

"Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta.

"Lagi cepat dan lagi ramai orang ambil vaksin, maka lagi kurang kes dan kita boleh pergi kepada fasa tiga (PPN)," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hadir pada program vaksinasi di Perkampungan Orang Asal di Kampung Chadak Ulu Kinta. Turut hadir, Ahli Parlimen Tambun,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hadir pada program vaksinasi di Perkampungan Orang Asal di Kampung Chadak Ulu Kinta. Turut hadir, Ahli Parlimen Tambun,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Vaksinasi perkampungan Orang Asal Kampung Chadak, Tambun, di sini, hari ini.

Perak diletakkan pada Fasa Dua PPN bersama empat negeri lain bermula esok selepas berjaya mencapai nilai ambang tiga indikator utama.

Beliau berkata, program vaksinasi di negeri ini merekodkan pencapaian yang signifikan sepanjang minggu ini apabila jumlah suntikan harian menunjukkan peningkatan baik.

"Sebagai contoh, Perak merekodkan 14,402 suntikan harian pada 30 Jun lalu dan jumlah itu bertambah kepada 15,918 suntikan pada 1 Julai dan terus meningkat pada kadar 19,341 suntikan pada 2 Julai.

"Momentum ini didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program jangkauan komuniti atau 'outreach' yang dilaksanakan secara agresif sejak 11 Mei lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 5:41 PM